TANPA BELIAU SIAPALAH AKU…..USTAZAH WAN HALIMATUN SAADIAH
TANPA BELIAU SIAPALAH AKU…..USTAZAH WAN HALIMATUN SAADIAH
Pertama kali berjumpa dengan ustazah di Tingkatan 2. Tegas dan garang, itulah penilaian pertamuku apabila ustazah masuk ke kelas bagi subjek matematik. Tetapi setelah beberapa minggu belajar dengan ustazah, aku mula SERASI dengan pendekatan ustazah mengajar. Hampir setiap petang, di sudut banggunan bilik guru, aku menadah ilmu darinya, ditemani anak-anaknya yang masih kecil ketika itu, Zaid, Fatimah dan Hanzalah. Rutin ini berlarutan hingga ke peperiksaan PMR. Ustazah juga telah menghantar aku ke kursus motivasi Dr Ismadi di Simpang Pulai, dengan dibiaya sepenuhnya oleh ustazah. Alhamdulillah, aku dapat A bagi subjek matematik.
Pernah aku menyuarakan keinginan untuk tidak sambung Tingkatan 4 (T4) di MUC pada ustazah, atas faktor kesihatan dan kesusahan emak dan abah berniaga nasi lemak di Kuala Lumpur. Namun hasratku dibantah keras oleh ustazah di sebuah pondok rehat dihadapan sekolah. Atas nasihatnya, aku teruskan juga sambung T4 di sekolah yang sama. Di hari pertama bayar yuran T4, aku terkejut kerana yuranku telah dikurangkan ke RM100 (asal RM180, pengecualiaan RM80), aku tahu ini adalah kerja ustazah.
BLAZER BIRU
Aku juga dilantik sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan perlu menempah BLAZER BIRU. Tapi emak abah tiada duit, dan ustazah setuju membiayai separuh dari harga blazer. Untuk menampung duit poket tambahan, ustazah masukkan aku ke koperasi sekolah untuk urus jualan makanan dan simpanan duit pelajar ketika itu. Rutinku pada setiap petang diteruskan bagi persiapan SPM. Tanpa jemu ustazah melayan setiap soalan matematik yang aku ajukan. Bukan sahaja soalan matematik, malah kisah dan permasalahan hidup, kisah cinta, cerita pengajianku di UiTM dan perjalanan kareer sebagai pensyarah statistik, semuanya aku berkongsi cerita dengan ustazah.
26 MAC 2018
Berita paling sedih aku terima atas pemergiaan ustazah yang paling aku sayangi selain emak dan abah. Dia ibu, guru terbaik dalam hidupku. Tanpa beliau, siapalah aku.
Comments
Post a Comment